Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata rampasan dan tangkapan ke atas lelaki berusia 33 tahun itu dilakukan sepasukan anggota yang bertindak atas penugasan Op Limau/Kontraban pada pukul 10 malam.
"Polis membuat pemeriksaan menyeluruh di atas meja dan sekitar gerai di hadapan dewan bersebelahan tokong sayur dan hasil pemeriksaan telah menjumpai pelbagai jenis mercun serta bunga api yang dipercayai dimiliki tanpa permit.
"Lelaki yang bertindak sebagai penjaga gerai ini ditahan dan kesemua barang kes dirampas untuk tindakan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Bahan Letupan 1957," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusharifuddin berkata suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis selepas selesai merakamkan keterangan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
-- BERNAMA