Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya juga tidak mempunyai perancangan untuk melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) bagi menjamin kelancaran penganjuran program yang memasuki kali keenam itu.
"Kali ini JPJ Terengganu bersama Polis Terengganu serta pihak berkuasa lain yang berkaitan mengambil langkah awal dengan mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur dan memberikan garis panduan yang jelas berhubung penganjuran program.
"Kita telah memberikan syarat-syarat yang perlu dipatuhi dan JPJ akan bekerjasama dengan pihak polis bagi memantau perhimpunan itu agar berlangsung sebagaimana diarahkan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pejabat JPJ Negeri Selangor di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan.
Antara syarat yang perlu dipatuhi ialah memastikan penunggang memiliki lesen memandu dan cukai jalan, motosikal tidak diubah suai secara fizikal yang menyalahi undang-undang serta plat kenderaan mematuhi spesifikasi ditetapkan selain ekzos tidak diubah suai.
"JPJ bukan sengaja ingin mencari kesalahan malah kami juga mahu program ini berjalan lancar namun pada masa sama, kita juga perlu pastikan semua penggguna jalan raya lain selamat bukan sahaja mereka yang menyertai perhimpunan tersebut," katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata pihaknya telah memberikan garis panduan yang jelas kepada penganjur menerusi empat siri mesyuarat penyelarasan bersama jabatan lain termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, JPJ serta Lembaga Lebuhraya Pantai Timur 2 dan penganjur perlu mematuhinya jika mahu program itu diteruskan pada tahun depan.
Program RXZ Members 6.0 yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus bermula esok hingga Sabtu ini dijangka menarik penyertaan 80,000 orang dari seluruh negara.
-- BERNAMA