KUALA NERUS: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5.034 bilion bagi projek pembangunan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Malaysia di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Tahun 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob berkata menerusinya terdapat 79 projek baharu dan sambungan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan di negeri Terengganu dengan membabitkan kos RM914.79 juta.


Jelasnya daripada jumlah itu, sebanyak 42 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 19 projek lagi berstatus pra bina.


“Bagi projek menaik taraf dan membangun semula sekolah yang mempunyai bangunan daif, sebanyak 26 projek telah diluluskan dalam tempoh 2017-2022 dengan kos sebanyak RM60.93 juta. Sebanyak 21 projek telah siap manakala baki sebanyak lima projek dalam peringkat pra bina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini pada Sabtu.


Tambah beliau, bidang kesihatan di negeri itu turut diberikan perhatian menerusi beberapa projek yang sedang dilaksanakan.
 
Katanya Projek Hospital Dungun dengan kapasiti 110 buah katil lengkap dengan peralatan perubatan dan projek high dependency ward hospital di Besut merangkumi lima katil terbuka, sebuah katil bilik isolasi dan enam zon utama dijangka siap dibina pada tahun ini.

“Lima lagi projek dijangka siap tahun depan melibatkan pembinaan Hospital Kemaman setinggi sembilan tingkat dengan kapasiti 300 katil, Klinik Kesihatan di Kampung Raja, Besut, kerja-kerja menaik taraf dan penggantian sistem lif di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Klinik Kesihatan di Rhu Sepuluh, Setiu, dan pembinaan Klinik Kesihatan di Paya Datu, Kuala Terengganu," katanya lagi.