KUALA LUMPUR: Empat daripada 10 kategori defisit sosial dalam  Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2022 termasuk pendidikan, agama, jurang generasi dan bahasa didapati menggugat pencapaian tahap perpaduan rakyat secara tidak langsung.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang memaklumkan agama menjadi satu daripada defisit sosial kerana kurang sensitiviti dan kefahaman berkenaan perbezaan agama yang memberi kesan kepada hubungan dan interaksi masyarakat.

Beliau dalam satu kenyataan memaklumkan, KPN telah mengambil inisiatif melancarkan inisiatif Harmoni MADANI pada April 2024 dengan mengetengahkan konsep Faham, Hormat dan Terima dalam usaha meningkatkan keharmonian antara penganut agama.

Antara program yang telah dilaksanakan melalui inisiatif Harmoni MADANI ialah sembilan program Jejak Harmoni, empat program Dialog Harmoni, podcast Bicara Harmoni bagi berkongsi nilai-nilai murni masyarakat Malaysia dan enam siri dokumentari Harmoni.

Sementara itu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menganjurkan Wacana Harmoni MADANI: Harmoni Dalam Kepelbagaian bagi berkongsi maklumat dasar-dasar negara, kajian dan penerokaan ilmu serta nilai murni dan amalan terbaik dalam menguruskan perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia pagi ini.

Beliau turut mengumumkan berkenaan fokus utama KPN pada tahun 2025 iaitu Inisiatif Harmoni MADANI dengan tema Harmoni Dalam Kepelbagaian.