KUALA LUMPUR: Polis setakat ini tidak bercadang untuk mengharamkan program perhimpunan We Are RXZ, sebaliknya mahu pihak penganjur mematuhi prosedur semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata ia termasuk prosedur dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan polis peringkat kontinjen.

"Sebelum penganjuran sesuatu acara dibenarkan, ia melibatkan banyak pihak termasuk PBT yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen selain kebenaran daripada pihak polis.

"Pihak JSPT akan memfokuskan kepada kawalan lalu lintas dan keselamatan berdasarkan jumlah peserta, kenderaan serta orang ramai yang ingin hadir dalam acara itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata tiga individu maut dalam tiga kemalangan berasingan membabitkan peserta program We Are RXZ Members 6.0.

Program We Are RXZ Members yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak pada 13 dan 14 Sept lepas merupakan edisi keenam penganjuran selepas kali pertama diadakan bermula 2017.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata sebanyak 1,366 kes kemalangan direkodkan berlaku di seluruh negara semalam melibatkan 12 kes kematian, menurun daripada 14 kes kematian dengan 1,641 kes kemalangan pada hari sebelumnya.

"Faktor kemalangan yang utama adalah faktor manusia selain faktor kenderaan dan persekitaran yang hampir 95 peratus kemalangan jalan raya berlaku. Sikap pengguna kenderaan bermotor memainkan peranan penting apabila berada di atas jalan raya.

"Hendaklah mempunyai sifat bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain, selain bekerjasama antara satu sama lain," katanya.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya terutamanya yang pulang ke kampung sempena cuti sekolah supaya merancang perjalanan.

"Apabila terperangkap di dalam kesesakan hendaklah bersabar dan kawal emosi supaya tiada perkara negatif akan berlaku. Gunakan peluang cuti sekolah ini untuk mendidik ahli keluarga tentang pentingnya keselamatan di jalan raya untuk mengurangkan kadar kemalangan maut," katanya.

-- BERNAMA