Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata pihaknya menunggu laporan daripada JAS Johor dan akan mengadakan perbincangan dengan jabatan itu esok.
Beliau berkata pihaknya juga akan terus memantau perkembangan semasa di kawasan terjejas termasuk di Tadika Kemas Jalan Masjid dan Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan di sini yang tidak beroperasi hari ini susulan bau yang kuat.
"Perbincangan dengan Jabatan Alam Sekitar Negeri (JAS) akan diakukan esok, terdapat lapan sekolah di kawasan terjejas itu.
"Sama ada persekolahan diteruskan atau tidak semuanya kita akan tunggu laporan esok. Tentang prosedur operasi standard (SOP) di sekolah-sekolah juga akan dilakukan esok...kita juga akan tengok malam ini macam mana (perkembangan)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah Legoland School Challenge di Legoland Malaysia Resort di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon dilaporkan berkata analisis peringkat awal terhadap sampel di kawasan terjejas didapati mengandungi bahan kimia yang belum dikenal pasti.
-- BERNAMA