Seorang kakitangan ketenteraan Malaysia yang diekstradisi ke New Zealand untuk berdepan pertuduhan rogol ditahan reman selepas tampil di mahkamah pada Sabtu.

Rizalman Muhammad Ismail yang berdiri di dalam kandang tertuduh akan tampil di mahkamah pada Selasa.

Rizalman, yang merupakan pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar dua pegawainya bagi mengiringi bekas pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail ke negara itu berhubung kes dakwaan pecah rumah dan gangguan seksual.

Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, Rizalman dihantar pulang semula ke Wellington bagi menghadapi pertuduhan mahkamah di sana.


Zulkifeli menambah Kementerian Pertahanan akan memantau dan memberi kerjasama sepenuhnya berhubung kes tersebut.

Muhammad Rizalman, 38, ditahan polis New Zealand pada 9 Mei lepas dan dihadapkan di mahkamah pada hari sama atas tuduhan melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita berumur 21 dengan niat untuk merogol.

Dia sekeluarga dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei dan Kementerian Pertahanan telah mengambil tindakan segera untuk menyiasat kes itu.