BENTONG:
Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah diminta untuk memperbanyak pusat pengumpulan getah di seluruh negara antara lain bagi menambah pendapatan pekebun kecil, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penubuhan pusat berkenaan dapat mengurangkan import lateks untuk kegunaan kilang negara ini yang mengeluarkan bahan berasaskan getah seperti sarung tangan.

"Saya telah minta agar pusat ini dibina lebih banyak, mungkin untuk 2025 ini harap dapat bina 10 lagi dan kita gunakan dana dalaman untuk bina pusat-pusat sedemikian," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi di sini hari ini.

Beliau berkata lokasi di utara, pantai timur dan Johor antara dicadangkan untuk membangunkan pusat pengumpulan getah itu.

Ahmad Zahid berkata dalam jangka masa panjang, RISDA akan melakukan penanaman semula pokok getah dan peruntukan secukupnya telah diberikan menerusi Belanjawan 2025.

Bagaimanapun, beliau berharap hasil penebangan kayu getah tua dilakukan dengan proses betul agar kayu berkenaan dapat dijadikan bahan untuk pengeluaran perabot.

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan beliau akan mengemukakan cadangan menempatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu sebelum dibawa ke kabinet.

"Ini keputusan pemukiman baru-baru ini, dari segi pentadbirannya pengurusan FELDA terletak di bawah Timbalan Perdana Menteri bukan KKDW, ia perkara berbeza. Jadi keputusan pemukiman supaya penyelarasan boleh dilakukan dengan sebaik-baiknya," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata Malaysia dihormati oleh negara Islam lain kerana keharmonian dan keamanan negara ini berikutan kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri menyantuni keperluan rakyat keseluruhannya tanpa mengira latar belakang.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyerahkan dividen RISDA berjumlah RM51 juta melibatkan peserta di seluruh negara selain Bantuan Musim Tengkujuh bagi Pahang melibatkan peruntukan lebih RM11.2 juta.

-- BERNAMA