Seramai 11 kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Rabu kerana membuat tuntutan palsu bayaran hotel dan elaun perjalanan dalam negeri antara RM20 hingga RM380.

Semua mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noriah Osman.

Bagaimanapun, Noriah menangguhkan keputusan hukuman sehingga Khamis dan membenarkan semua tertuduh termasuk empat wanita itu, diikat jamin antara RM2,000 hingga RM3,000 setiap seorang.

Terdahulu, mereka yang didakwa ialah Wahida Syukriah Haron, 29; Wahida Wahab, 33; Azzere Sidi Ahmad, 29; Mohd Alias Ramli, 29; Noramelia Abdul Razak, 29; Aqilah Zainal Annuar, 30 dan Mohd Dina Che Man, 30.

Turut dituduh ialah Mohd Khairol Mat Khalib, 38; Mohd Noorhisyam Zakaria, 38; Muhammad Faiz Irzwan Abdul Ghani, 27 dan Zainal Ahmad, 35.

Mengikut pertuduhan kesemua tertuduh didakwa membuat tuntutan palsu bernilai antara RM20 hingga RM380.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat RISDA Kemaman pada April 2018.

Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan ang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Yasmin Salleh.

Semua tertuduh pula diwakili peguam Hayat Muhamad.