KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki ditahan di sebuah kafe di Bandar Sunway semalam, disyaki terlibat dengan pertaruhan perlawanan bola sepak Euro 2024.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata remaja berusia 19 tahun itu ditahan pada 12.50 tengah malam dan polis turut merampas telefon bimbit daripadanya untuk membantu siasatan.

"Remaja itu direman hingga Jumaat ini untuk siasatan di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penahanan remaja itu dilakukan menerusi Op Soga yang bermula pada 14 Jun hingga 14 Julai ini.

Wan Azlan berkata setakat ini, sebanyak lapan serbuan telah dijalankan menerusi operasi itu di sekitar Subang Jaya oleh Bahagian Siasatan Jenayah Subang Jaya, Balai Polis Bandar Sunway dan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau berkata hasil serbuan, polis telah menahan sembilan individu berusia 19 hingga 35 tahun dan merampas sembilan telefon bimbit yang berkait kegiatan perjudian pertaruhan Euro 2024.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan kesalahan imigresen di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," katanya.

-- BERNAMA