Ringkasan AI
- Reka Bentuk Lestari dan Teknologi Mesra Alam: Pendekatan reka bentuk lestari yang menggunakan bahan kitar semula dan teknologi mesra alam perlu diberi keutamaan dalam industri pembuatan negara untuk mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan melestarikan sumber daya alam untuk generasi akan datang.
- Fokus Pertumbuhan Ekonomi dan Pelaburan: Kerajaan Madani memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi dengan menggalakkan pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di Malaysia melalui usaha memperkukuh infrastruktur pelaburan, termasuk inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang menekankan penggunaan tenaga mampan dan pengurangan jejak karbon.
- Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI): Kerajaan menggalakkan penggunaan AI dalam industri pembuatan untuk meningkatkan kelebihan kompetitif, membuka peluang ekonomi baharu, dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. AI juga membantu pereka bentuk dalam automasi tugas, inovasi visual, dan penyediaan solusi yang dipersonalisasi dengan lebih cekap.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata fokus utama Kerajaan Madani bagi 2024 adalah merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dengan memberi keutamaan mendorong pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di Malaysia.
"Sehubungan itu, pelbagai usaha dipergiat untuk memperkukuh infrastruktur pelaburan agar Malaysia menjadi destinasi pelaburan global yang terkemuka," katanya berucap pada majlis Malaysia Good Design Award 2023/2024 di sini semalam.
Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pelaburan) MITI Datuk Bahria Mohd Tamil.
Tengku Zafrul berkata Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) adalah antara inisiatif kerajaan untuk membuka peluang perniagaan baharu berorientasikan kelestarian.
Inisiatif ini memfokuskan kepada penggunaan tenaga yang mampan dan efisien serta pengurangan jejak karbon yang sangat penting dalam memerangi perubahan iklim dan mempromosikan pembangunan berterusan, katanya.
Menurut Tengku Zafrul, kerajaan amat menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) kepada semua industri pembuatan di Malaysia untuk memberi kelebihan kompetitif yang signifikan, membuka peluang ekonomi baharu dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
"Kerajaan percaya negara yang menguasai teknologi ini akan memimpin inovasi global dan menetapkan standard baharu dalam pembangunan teknologi.
"Dalam sektor reka bentuk, aplikasi AI telah mentransformasikan cara pereka bentuk bekerja. Ia kini digunakan untuk mengautomasi tugas-tugas reka bentuk yang berulang atau menghasilkan inovasi visual yang kompleks," katanya.
Beliau berkata teknologi ini membolehkan pereka bentuk mengkaji pelbagai pilihan reka bentuk dengan lebih cekap, melakukan simulasi penggunaan dan menyediakan solusi yang dipersonalisasi untuk memenuhi keperluan pelanggan secara lebih tepat, menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti.
-- BERNAMA