Bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan pada Khamis berkata antara perubahan dalam dasar termasuklah rancangan kerajaan untuk rasionalisasi subsidi.
Inflasi utama Malaysia susut kepada 1.7 peratus tahun ke tahun pada Disember 2024 didorong oleh inflasi bukan makanan yang lebih perlahan.
"Inflasi bukan makanan terus menurun kepada 1.1 peratus tahun ke tahun (November 2024: 1.4 peratus) disebabkan oleh deflasi dalam sektor pakaian dan kasut, dan maklumat dan komunikasi, serta inflasi yang lebih perlahan dalam sektor kesihatan, rekreasi, sukan dan budaya, penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta komponen perkhidmatan," katanya.
MIDF Amanah mengunjurkan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada 3.0 peratus sepanjang 2025 berikutan kekurangan tekanan permintaan yang ketara terhadap inflasi.
Bank pelaburan itu berpendapat kadar ketika ini kekal menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar inflasi Malaysia bagi Disember 2024 menyederhana kepada 1.7 peratus, dengan mata indeks berada pada 133.4 berbanding 131.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Selain itu, semasa mesyuaratnya pada Rabu, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 3.0 peratus.
-- BERNAMA