Pertumbuhan ini dijangka didorong oleh perbelanjaan domestik yang semakin kukuh.
Menurut Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, tahun 2025 bakal menjadi tahun pemulihan stabil dan peluang pertumbuhan, baik dari aspek domestik mahupun global.
"Penggunaan domestik akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2025.
"Pasaran pekerjaan menunjukkan trend positif dengan peningkatan peluang pekerjaan, kenaikan gaji, dan sektor pelancongan yang berkembang, sekali gus menyokong perbelanjaan pengguna lebih tinggi.
"Faktor-faktor ini, ditambah pula dengan inisiatif kerajaan seperti kenaikan gaji penjawat awam dan program bantuan tunai, akan menyediakan asas kukuh untuk pengembangan ekonomi," katanya dalam sesi pembentangan Tinjauan Pasaran MIDF 2025 hari ini.
Imran turut menyatakan bahawa selain permintaan domestik, perdagangan luar dijangka terus berkembang.
Namun begitu, MIDF Research kekal lebih berhati-hati terhadap dasar perdagangan yang lebih ketat yang mungkin dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Beliau turut mengingatkan tentang ketidakpastian dan votaliti berterusan akibat kepekaan pelabur terhadap data ekonomi AS, dasar baharu perdagangan, tarif dan cukai oleh AS serta risiko konflik geopolitik.
Dalam aspek dasar monetari, MIDF Research menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia kekal pada 3.00 peratus pada 2025.
Ini akan menyediakan persekitaran yang menyokong aktiviti ekonomi.
Selain itu, MIDF Research optimis terhadap potensi pengukuhan ringgit pada 2025 dengan jangkaan purata kadar pertukaran pada RM4.23 berbanding dolar AS, lebih kukuh berbanding purata RM4.56 pada 2024.
Pertumbuhan permintaan domestik dan pemulihan perdagangan luar menjadi faktor utama sokongan.
Namun begitu, inflasi dijangka meningkat sedikit pada tahun hadapan akibat kos bukan makanan yang lebih tinggi.
Dalam pasaran ekuiti, MIDF Research menjangkakan pertumbuhan berterusan pendapatan FBM KLCI pada 2025 dengan sasaran indeks penanda aras tersebut capai paras 1,800 mata.
Imran menyatakan bahawa pasaran ekuiti tempatan telah menunjukkan prestasi yang agak baik pada 2024, dengan FBM KLCI mencatatkan kenaikan sebanyak 0.11 peratus sehingga 4 Disember 2024.
Dalam konteks jangkaan ekonomi ketika ini, FBM KLCI diramalkan mencatatkan pertumbuhan pendapatan tahunan sebanyak 9 peratus pada 2025.
Pada masa sama, Ketua Strategi MIDF, Syed Muhammed Kifni Syed Kamaruddin berkata, pertumbuhan pendapatan merupakan pemacu utama sasaran ini.
“Dengan menggunakan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 15.4 kali, hampir sama seperti tahun lalu, sasaran kami untuk KLCI adalah 1,800 mata,” kata Syed Muhammed Kifni.