Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Asisten Superitenden Mohd Norzuki Husain berkata, Yahya Kadir, 65, tiba-tiba rebah sebelum tidak sedarkan diri ketika kuliah berlangsung selepas solat Subuh.
Katanya, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 7.10 pagi.
"Saya difahamkan Yahya bukan ahli kariah masjid itu, namun tetap hadir jika ada program kuliah yang dianjurkan pihak pentadbiran masjid.
"Ketika sedang duduk mendengar kuliah, dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Jemaah masjid cuba membantu namun tiada tindak balas," katanya di sini pada Isnin.
Menurutnya, pihak masjid menghubungi ambulans dan arwah disahkan meninggal dunia oleh paramedik bertugas.
"Pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa juga tidak menemui sebarang unsur jenayah, namun rekod kesihatan menunjukkan dia adalah pesakit diabetes dan darah tinggi," katanya.
Jenazah dikebumikan di Tambun Tulang dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). - Sinar Harian