Boleh dikatakan bazar berkenaan menjadi tumpuan setiap kali menjelang Ramadan, selain ia mempunyai bilangan petak gerai terbanyak iaitu 200 yang merangkumi 186 peniaga.
Tinjauan pada petang Selasa mendapati, orang ramai cenderung memilih membeli di bazar berbanding masak atau makan di kedai.
Antara alasannya ialah faktor dekat dengan tempat kerja dan tidak sempat untuk memasak di rumah.
Selain itu, galakan untuk para pengunjung membawa bekas makanan sendiri seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, nampaknya tidak mendapat sambutan.
Menurut Nur Naema Nayan, cadangan tersebut disifatkan bagus untuk mengelakkan penggunaan plastik, namun katanya setakat ini dia tidak bercadang untuk berbuat demikian.
"Saya beli makanan berbuka di bazar sahaja sebab lebih jimat dan dekat dengan tempat kerja, kalau ke sini saya akan cari makanan berat dan lihat pilihan yang ada," katanya.
Sementara itu, Ainil Said berkata, agak leceh untuk membawa bekas makanan sendiri ke bazar, namun ia satu cadangan yang baik.
"Kalau balik rumah jalan memang sesak dan tidak sempat masak, saya singgah ke bazar dan beli juadah di sini, lagi pun saya dan suami masing-masing kerja dan sibuk," katanya.
Izzuan Ishak pula berpendapat, sudah ramai peniaga yang cakna serta mengambil maklum tentang kualiti makanan yang dijual.
"Rasanya kali ini para peniaga peka dengan pesanan ramai orang supaya jaga mutu dan rasa makanan yang dijual, bukan main tangkap muat sahaja, lagi-lagi yang pertama kali berniaga," katanya.
Bazar Ramadan turut dimeriahkan dengan kehadiran orang ramai dari pelbagai bangsa, mereka turut sama berpeluang meneroka aneka makanan yang hanya dapat dilihat setahun sekali.
Jasdep Singh Dhillon berkata, dia gemarkan suasana bulan Ramadan dan bazar yang meriah dengan orang ramai.
"Saya datang bersama ahli keluarga, dalam masa sama sokong rakan-rakan yang buka gerai di sini. Setiap kali puasa memang saya akan berkunjung ke bazar untuk cari makanan unik," katanya.
Bagi pelajar jurusan asasi Sains di UniKL Ipoh, Alea Nabila Fadzil, keunikan bazar Ramadan di Perak berbeza dengan negeri kelahirannya di Johor.
"Kalau di sini khemah gerai besar-besar dan meriah dengan pengunjung, universiti dekat dengan bazar dan saya bersama rakan datang sini untuk beli juadah, harga pun berpatutan," katanya.
Sebelum ini Majlis Bandaraya Ipoh mengalakkan penggunaan bungkusan makanan jenis biodegradasi, di samping bekas makanan dibawa sendiri oleh pengunjung.
Terdapat 24 lokasi bazar Ramadan di Ipoh yang membabitkan 1,268 petak gerai merangkumi 1,128 peniaga.