Bendi, 50, berkata cadangan dari rakan-rakan mencetuskan idea kepadanya untuk menghasilkan produk itu yang dijual melalui tempahan menerusi laman sosial sejak awal Ramadan lalu.
"Saya hanya jual mengikut tempahan selepas mengiklankan melalui Facebook saya, Alhamdulilah, sambutan amat menggalakkan dari penggemar karya kartun dan komik," katanya ketika ditemui di bengkelnya di sini.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu menerima tempahan lebih 400 set sampul raya yang mengandungi 20 keping setiap set dan dijual dengan harga RM15 setiap set.
Katanya dia juga menguruskan sendiri pengeposan kepada pelanggan di luar daerah dan negeri Perak.
Bendi yang memulakan karier melukis kartun bersama Majalah Gelagat pada 1994 turut menghasilkan karya yang dicetak di atas bekas pensil selain mengambil tempahan membuat iklan produk melalui lukisan komik, cetakan di atas kemeja-T, cawan dan cenderamata.
Anak jati Bagan Datuk yang terkenal dengan kartun semuka 'Anak Bapak' itu juga masih menyumbang karya sebagai pelukis bebas untuk majalah komik terkenal negara, Ujang yang disertainya sejak 1997.
"Dunia komik dah banyak berubah, sekarang ramai dah beralih kepada pembacaan digital tetapi tidak dinafikan masih ada peminat yang gemar membaca komik fizikal, buktinya saya masih boleh berkarya dan Majalah Ujang masih hidup sehingga kini walaupun jualan tidak serancak dahulu," katanya.
Menurutnya perubahan tersebut banyak dipengaruhi kenaikan kos bahan seperti kertas, kos mencetak dan populariti manga dan anime.
Bagaimanapun katanya bagi mereka yang minat melukis, bidang itu masih menjanjikan rezeki dan pendapatan berbaloi jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.
-- BERNAMA