Ingin dikenali sebagai Azie, 30-an, dia mendakwa membeli lima biji martabak di sebuah gerai di Guchil di sini pada petang Sabtu.
"Semasa mengunyah martabak saya merasa pelik kerana ianya rangup. Malah sangat terkejut apabila mendapati ia seekor lipas.
"Saya terus muntah dan hilang selera makan kerana terbayangkan lipas berada di dalam mulut. Sangat menggelikan," katanya kepada pemberita.
Tambah Azie, dia tidak sempat merakam sebarang gambar kerana mengalami muntah yang teruk akibat terkejut.
Menurut ibu kepada seorang anak itu, martabak tersebut dibeli dengan harga RM5 sebiji.
Ujarnya, setiap kali Ramadan kedai tersebut sentiasa menjadi pilihan dia dan keluarga kerana martabaknya sedap sehingga popular dalam kalangan penduduk setempat.
Azie memberitahu, dia tidak mempunyai perancangan untuk membuat aduan atau memaklumkan kepada tuan kedai.
"Cukuplah saya memboikot kedai tersebut selepas ini. Namun sebagai pengguna saya berharap peniaga yang menjual makanan agar lebih berhati-hati dan menitip beratkan soal kebersihan," katanya. - Sinar Harian