Ringkasan AI
- SPRM menahan reman pengerusi syarikat dan pengarah subkontraktor untuk siasatan kes rasuah lebih RM1 bilion projek lebuh raya di Lembah Klang.
- Suspek ditahan kerana disyaki memberi rasuah lebih RM200,000 kepada pegawai badan berkanun dan syarikat konsesi lebuh raya untuk mendapatkan projek.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009, dan semua suspek sebelum ini telah dilepaskan dengan jaminan selepas tamat tempoh reman.
Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Pengerusi syarikat bergelar Datuk itu direman hingga 6 Julai manakala pengarah syarikat subkontraktor direman hingga 4 Julai.
Sumber memaklumkan kedua-dua suspek ditahan antara 9 malam hingga 12 tengah malam tadi selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
"Mereka disyaki telah memberi rasuah lebih RM200,000 kepada pegawai-pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja projek pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan syarikat lain.
"Mereka juga dipercayai turut memberi rasuah kepada pegawai-pegawai di sebuah syarikat konsesi lebuh raya untuk tujuan sama," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim semasa dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Beliau turut mengesahkan semua suspek yang ditahan berkaitan siasatan kes itu sebelum ini telah dilepaskan semalam selepas tamat tempoh reman termasuk Ketua Pegawai Eksekutif syarikat konsesi lebuh raya dengan jaminan RM150,000.
-- BERNAMA