Pengendali rangkaian rel Rapid KL, Rapid Rail akan menyeragamkan kekerapan perkhidmatannya kepada 10 minit setiap hari, bagi menyesuaikan dengan keadaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hadi Amran berkata, frekuensi baharu dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam itu akan dilaksanakan bermula Jumaat ini sehingga 31 Mac depan, termasuk pada cuti umum.

"Kami akan terus memantau permintaan penumpang. Jika kami melihat keperluan untuk menambah frekuensi, maka tambahan tren akan dibuat.

"Sepanjang tempoh ini, kami mahu memastikan perjalanan penumpang yang masih memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam berjalan lancar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Difahamkan, kekerapan perkhidmatan Rapid Rail pada waktu puncak setiap hari biasa adalah antara tiga hingga empat minit.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, pihaknya akan memastikan kerja-kerja pembersihan dilakukan di stesen dan bahagian dalam tren bagi meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan penumpang.

"Keselamatan serta kesihatan penumpang dan kakitangan adalah keutamaan kami. Penumpang juga boleh mendapatkan informasi perkhidmatan melalui Facebook, Twitter dan Instagram Rapid KL," tambah beliau.

Selain itu, katanya penumpang juga boleh menghubungi Rapid KL di talian 03-7885 2585.