KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R.Ramanan hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM190,000 kepada 16 masjid serta 300 asnaf di sekitar Parlimen Sungai Buloh.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata bantuan berkenaan merupakan sumbangan Bank Rakyat menerusi program Jangkauan Komuniti MADANI: Penyerahan Sumbangan Ihya Ramadan kepada golongan yang memerlukan di sekitar kawasan itu.

"Saya sangat gembira hari ini sebab dapat bersama-sama dengan kanak-kanak asnaf dan golongan miskin yang hadir. Saya salut kepada Bank Rakyat atas pelaksanaan program-program seperti ini untuk membantu golongan kurang bernasib baik sempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

"Syabas saya ucapkan kepada Bank Rakyat dan saya harapkan lebih banyak inisiatif-inisiatif seperti ini dapat dilakukan bukan sahaja di Parlimen Sungai Buloh tetapi juga di kawasan lain," katanya kepada pemberita pada program yang diadakan di Masjid Kota Damansara di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar Pemantauan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Noor Afifah Abdul Razak dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff.

Sementara itu, Ahmad Shahril berkata setiap masjid menerima RM10,000 bagi menganjurkan aktiviti pengimarahan sepanjang Ramadan dan Syawal manakala setiap asnaf menerima wang tunai RM100.

"Program-program seperti ini akan terus dilaksanakan oleh Bank Rakyat. Ini bukan acara tahunan, malah, jika ada keperluan Bank Rakyat akan turun padang untuk laksanakan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini.

"Penyerahan hari ini merupakan hasil CSR dan sumbangan zakat kepada penerima," katanya.

-- BERNAMA