Pengarahnya Azrin Borhan berkata taktik penyamaran dengan menempatkan anggota di dalam bas membolehkan tindakan saman terus dikenakan terhadap pemandu yang didapati melakukan kesalahan jalan raya selain memastikan kelancaran dan kecekapan operasi pengangkutan awam.
Beliau berkata berdasarkan statistik Ops Penyamaran Sempena Tahun Baharu Cina yang lepas, sejumlah 351 kesalahan dikesan, terutamanya gagal mematuhi lampu isyarat sebanyak 115 kes serta 109 kes memandu di lorong kecemasan.
"Kesalahan lain iaitu 47 kes memandu di lorong kanan secara berterusan serta 28 kes memotong barisan," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan bas bagi Pra-Operasi HRA 2025 JPJ Negeri Selangor di sini hari ini.
Berhubung Pra-Operasi HRA 2025, Azrin berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas 30 bas ekspres sejak 17 Mac lepas, melibatkan Depoh Sani Express di Klang Sentral dan Depoh Konsortium Transnasional Berhad di Seksyen 16, Shah Alam.
Beliau berkata slip pemeriksaan akan dikeluarkan kepada kenderaan yang mematuhi standard dan piawaian ditetapkan untuk kegunaan sepanjang Aidilfitri.
Dalam pemeriksaan itu, sembilan bas dikeluarkan notis larangan penggunaan atau melakukan sebarang perjalanan sehingga kenderaan berkenaan diselenggara sebagaimana yang ditetapkan.
Azrin berkata pemeriksaan itu memberi fokus kepada aspek keselamatan serta komponen utama kenderaan yang perlu diselenggara, seperti ketebalan bunga tayar mengikut standard dan piawaian ditetapkan.
Ia juga termasuk ketebalan bunga tayar sekurang-kurangnya 2.5 milimeter, sistem brek serta aspek keselamatan "active safety", iaitu pencahayaan, lampu wajib, cermin dan reflektor serta kit peralatan kecemasan yang berfungsi dengan baik.
"Semakan lesen memandu juga akan dibuat selain penggunaan Global Positioning System (GPS) di dalam bas turut diberi penekanan bagi tujuan pemantauan pemanduan sepanjang berada atas jalan raya," katanya.
-- BERNAMA
