Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir Zakaria Ahmad Zabidi berkata, peningkatan trafik tertinggi dijangka berlaku pada Khamis, Jumaat dan Sabtu sebelum Aidilfitri, dengan jumlah keseluruhan trafik musim perayaan kali ini mencecah lebih 2.2 juta kenderaan sehari.
“Begitu juga selepas perayaan, kita jangkakan trafik puncak pada tiga hari bermula 4 April iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad.
"Oleh itu, 4 April turut disenaraikan sebagai salah satu hari trafik kemuncak dengan jumlah melebihi dua juta kenderaan,” katanya pada sidang media persediaan PLUS dalam menguruskan peningkatan trafik sempena Aidilfitri 2025.
Bagi menguruskan aliran trafik, PLUS telah mengambil beberapa langkah, termasuk pengaktifan 28 laluan SmartLane di lokasi strategik dengan tambahan tiga lokasi baharu.
Selain itu, larangan terhadap kenderaan berat juga akan dikuatkuasakan dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan.
PLUS turut memperkenalkan ciri baharu dalam aplikasi mudah alihnya, MyPLUS-TTA, yang membolehkan pengguna merancang perjalanan dengan lebih cekap sepanjang musim perayaan ini.
Lebih 5,000 petugas akan dikerahkan di sepanjang Lebuhraya PLUS dan LPT2 bagi memastikan perjalanan pengguna lancar dan selesa.
Selain itu, sebanyak 59 lokasi tandas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Sebelah serta Plaza Tol telah dinaik taraf sejak tahun lalu sebagai sebahagian daripada usaha PLUS meningkatkan kemudahan untuk orang ramai.
Orang ramai disarankan merancang perjalanan mereka lebih awal dan mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan oleh PLUS bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya.
Umat Islam di negara ini dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 31 Mac ini.
