Pengerusi Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay Negeri Melaka Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata penambahan kluster baharu ini akan menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelancong, khususnya dari luar negara, bersempena penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 yang bakal berlangsung di Melaka.
Menurutnya, setakat ini terdapat sembilan inap desa berdaftar di Melaka dengan lebih 300 bilik, menawarkan pelbagai tema serta pengalaman suasana kampung yang berbeza kepada pelancong.
"Antara syarat pendaftaran sebagai kluster inap desa ialah perlu mempunyai sekurang-kurangnya 15 unit rumah dalam satu kawasan, dengan setiap inap desa melalui pemeriksaan dan penilaian berdasarkan beberapa aspek.
"Kampung Chinchin pula memiliki pelbagai tarikan menarik, termasuk lokasi riadah, produk pelancongan, warisan serta sejarah yang boleh diperkenalkan kepada pelancong yang menginap di inap desa di situ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Riang Ria Hari Raya melibatkan pembelian baju raya kepada 47 anak yatim, asnaf dan warga emas dari Dewan Undangan Negeri Telok Mas.
Mengulas lanjut, Akramuddin berkata antara kluster inap desa yang telah berdaftar di Melaka ialah Ayer Limau, Ayer Paabas, Alai, Seri Tanjung, Kampung Morten dan Paya Dalam.
Beliau turut memaklumkan pelbagai pakej menarik akan diperkenalkan, termasuk aktiviti permainan tradisional masyarakat tempatan, bagi menarik lebih ramai pelancong luar negara ke kluster inap desa berkenaan sempena WTD dan WTC 2025.
Terdahulu, beliau berkata program pembelian baju raya bagi anak yatim, asnaf dan warga emas yang telah memasuki tahun ke-15 ini terus menjadi platform bagi membantu golongan memerlukan mendapatkan pakaian baharu selain meraikan mereka menjelang Aidilfitri.
"Program ini dapat diteruskan setiap tahun hasil sumbangan pelbagai pihak, memastikan golongan kurang berkemampuan tidak dipinggirkan dan dapat merasai keceriaan menyambut Hari Raya.
"Setiap penerima diberikan peruntukan sebanyak RM200 untuk memilih pakaian baharu atau membeli barangan keperluan lain," katanya.
-- BERNAMA
