Langkah itu adalah bagi memastikan sebarang kejadian tidak diingini termasuk melibatkan kecederaan yang serius tidak berlaku terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Baginda juga menyeru agar pemantauan ketat dijalankan oleh pihak berkuasa membabitkan larangan terhadap penjualan mercun yang berbahaya.
Tengku Sarafudin Badlishah turut menzahirkan rasa simpati terhadap insiden yang berlaku di Kuala Nerang semalam dan berharap ianya tidak berulang pada masa akan datang.
"Saya harap kejadian ini tidak berlaku lagi di negeri Kedah atau negeri-negeri lain di Malaysia sebab tiap-tiap tahun bila kita dengar dekat nak raya, ada kejadian macam ini
"Memang saya harap ibu bapa memang kena pantau kena tengok anak-anak mereka semua, semua gembira nak raya tetapi kita tak mau berada dalam kesedihan," titah baginda.
Raja Muda Kedah bertitah demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri bagi tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi di Dewan Lestari, Guar Cempedak pada Khamis.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) memaklumkan agensi berkenaan telah memperuntukkan sebanyak RM626,400 khusus bagi Sumbangan Aidilfitri tahun ini untuk diagihkan kepada 2,950 penerima di negeri itu.
Tengku Sarafudin Badlishah turut berharap agar sumbangan berkenaan dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan dan memberikan kegembiraan kepada golongan terlibat menjelang sambutan Aidilfitri.
"Majlis sumbangan pada hari ini merupakan satu acara simbolik kepada golongan yang memerlukan dan layak melalui perantaraan antara pihak masjid untuk memastikan agihan ini dapat dinikmati oleh semua golongan memerlukan," titah baginda lagi.
