KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan mengajak seluruh lapisan rakyat untuk bersama-sama memahami serta menghayati tema Hari Kebangsaaan ke-67 iaitu 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka' terutama dalam konteks perpaduan.

Beliau berkata sambutan kemerdekaan yang diraikan setiap tahun bukan sekadar laungan 'membangkitkan semangat' tetapi ia juga perlu disulami dengan penghayatan dan pengisian ke arah perpaduan negara.

"Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahulukan perpaduan sebagai teras utamanya.

"Perpaduan inilah yang telah meletakkan negara semakin stabil dan kukuh. Perpaduan kaum merupakan tunjang utama 'Negaraku Malaysia," katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Ramanan berkata rakyat juga perlu sentiasa berhati-hati dalam menempuh segala rintangan, halangan dan cabaran untuk memastikan perpaduan kaum sentiasa menjadi benteng utama kekuatan negara.

Beliau berkata sebagai satu keluarga besar, rakyat perlu berganding bahu untuk menjayakan segala visi dan misi negara demi kesejahteraan, kemakmuran serta kegemilangan masa depan Malaysia.

"Ini adalah tanggungjawab kita bersama. Bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh," katanya sambil menambah perpaduan yang dikecapi selama ini telah meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang gah, berjaya dan gemilang.

-- BERNAMA