PORT SUDAN: Di sebuah pusat perlindungan untuk pelarian di Port Sudan, suasana ceria dengan gelak tawa wanita memenuhi ruang, diiringi bunyi alat membuat manisan dan tepung yang sedang diuli.

Wanita-wanita ini terpaksa melarikan diri akibat perang saudara yang berlarutan, berusaha mencari sumber pendapatan selepas hilang tempat tinggal dan harta benda mereka akibat konflik.

Kira-kira 17 keluarga yang hilang tempat tinggal menetap di pusat perlindungan yang dahulunya merupakan Al-Thawra West Boys School.

Di sini, wanita-wanita ini berpeluang mempelajari kemahiran membuat manisan untuk mendapatkan makanan dan menjana pendapatan.

Madina Ahmed, mengetuai inisiatif ini dengan mengajar cara membuat Balah Al-Sham, sejenis pastri goreng yang popular.

"Saya seorang pakar pemakanan dan saya ingin berkongsi pengalaman untuk membantu keluarga-keluarga ini mempelajari satu kemahiran yang boleh memberi mereka sumber pendapatan yang stabil," katanya kepada Xinhua.

Beliau telah melatih 17 keluarga untuk menghasilkan Balah Al-Sham, manisan Syria yang menyerupai kurma dan kini popular di Sudan.

Beberapa organisasi menyediakan tepung, minyak dan gula kepada keluarga pelarian, membolehkan mereka menghasilkan manisan ini untuk dijual di pasar tempatan.

Pendapatan itu digunakan untuk membeli barang keperluan penting yang tidak disediakan oleh organisaasi bantuan, kata Madina.

"Bagi saya, dengan menyara empat anak dan seorang ayah yang kurang upaya, projek ini menjadi penyelamat, memberikan kami sumber pendapatan yang sangat diperlukan," kata Safaa Omer, dari Wad Madani, tengah Sudan yang kini menetap di pusat perlindungan itu.

"Saya menghasilkan manisan antara tujuh hingga 10 kilogram setiap hari dan anak-anak saya menjualnya di pasar Port Sudan," katanya.

Madina juga merancang untuk memperluas program latihan itu ke semua 80 pusat perlindungan di Port Sudan, yang kini menempatkan hampir 21,000 keluarga pelarian atau kira-kira 105,000 orang.

Sudan dilanda perang saudara yang dahsyat sejak pertengahan April 2023, menyebabkan lebih 14 juta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka, menurut anggaran terkini Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).

-- BERNAMA