KOTA KINABALU: Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memaklumkan menerima banyak permohonan menyertai parti itu di semenanjung.

Menurutnya keahlian tersebut turut diterima dari bekas ahli dari beberapa parti di semenanjung seperti dari parti  Bersatu, UMNO, MCA dan MIC.

"Saya sepatutnya berada di Johor minggu ini untuk menerima kemasukan bekas UMNO, bekas MCA, bekas MIC dan bekas pejuang Bersatu.

"Tapi kita tunggu sahaja nanti dan saya tidak mahu cakap banyak sangat.

"Kita serahkan kepada mereka dan rakyat menentukan tentang perjalanan negara ini," katanya yang ditemui di sini pada Ahad.

Tambahnya parti itu juga berdepan kesukaran dalam melebarkan sayapnya di semenanjung namun yakin sokongan berterusan akan diperoleh.

17 Disember lepas, Warisan melancarkan parti itu ke peringkat nasional di Pusat Konvensyen Sime Darby.

Majlis turut dihadiri Presiden Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang BAKAL  menjalinkan kerjasama dengan Warisan secara rasmi.