KOTA KINABALU: Kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diminta berhenti menyalahkan orang lain terutama rakyat sebaliknya bersungguh menyelesaikan isu air di Sabah.


Ringkasan AI
  • Kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diminta berhenti menyalahkan orang lain terutama rakyat sebaliknya bersungguh menyelesaikan isu air di Sabah.


Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan GRS telah gagal menyelesaikan krisis air yang berpanjangan di Sabah.

"Jika ada pihak yang boleh dipersalahkan, kerajaan GRS yang sudah empat tahun memerintah dan tidak melakukan apa-apa untuk menyelesaikannya.

"Jangan hanya menyalahkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana melepaskan kekecewaan mereka.

"Mereka menderita tanpa bekalan air yang betul selama bertahun-tahun. Jangan salahkan pelajar, rakyat atau pembangkang atas kegagalan anda menyelesaikan masalah air di Sabah," kata Shafie.

Dalam pada itu, Shafie berkata, beliau terkejut apabila industri dan perniagaan besar mendapat mendapatkan bekalan air tetapi pelajar di UMS dan pengguna kediaman berdepan kesukaran disebabkan tidak mempunyai bekalan air.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri tidak menghantar air yang mencukupi melalui tangki ke kampus UMS untuk kegunaan mereka yang memerlukan.

Kata Shafie, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah dan bukan mencari kambing hitam atas kegagalan mereka.

Shafie berkata, sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan dalam Jabatan Air kerana gagal sepenuhnya memberi perkhidmatan yang baik terhadap rakyat Sabah.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga harus melakukannya dengan ikhlas tanpa melindungi kepentingan mana-mana individu atau kumpulan yang mengawal syarikat utiliti tersebut.