Rakyat Malaysia harus berterima kasih kepada pasukan keselamatan atas tugas-tugas besar yang dilakukan untuk menjamin keselamatan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tetapi kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan itu dan harus berada dalam keadaan lebih bersedia untuk menghadapi sebarang ancaman.

"Kerajaan telah mengambil dan akan terus mengambil langkah-langkah untuk menangani dan membendung sebarang ancaman terhadap keamanan dan keharmonian negara kita," kata Najib menerusi cacatan dalam blog rasmi beliau www.najibrazak.com malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada insiden serangan di Ohio State University di Amerika Syarikat pada Isnin.

Mengenai insiden itu, Najib berkata nasib baik-lah tindakan pantas oleh Polis Bahagian Kampus Ohio State University dapat menghindari kejadian yang lebih buruk dan mengelakkan kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa.

"Tindakan pantas Pasukan Pengurusan Kecemasan Ohio State University yang memaklumkan kepada pelajar dan fakulti mereka melalui media sosial untuk berlindung, lari atau melawan harus menjadi teladan.

"Perlu diberi perhatian bahawa penyebaran maklumat penting yang jelas dan berterusan telah dilakukan dengan pantas dan kebanyakan pelajar dan kakitangan dapat respon dengan sewajarnya," kata Najib.

Najib juga berkata beliau berasa lega tiada pelajar Malaysia cedera tetapi ingatannya adalah bersama mereka yang terlibat dalam insiden itu.

"Terdapat 296 pelajar Malaysia kini menuntut di universiti itu dan saya benar-benar berasa tenang bahawa tiada rakyat Malaysia cedera dalam serangan yang sia-sia itu.

"Ingatan saya adalah bersama mereka yang cedera dan terjejas dalam insiden keganasan di Ohio State University," kata beliau.

Saluran media Amerika pada Isnin melaporkan pada Isnin bahawa seorang pelajar telah merempuh kenderaannya pada laluan pejalan kaki di kampus Columbus, Ohio, sebelum menyerang pelajar lain dengan pisau pemotong daging dan dia kemudian ditembak oleh seorang pegawai polis kampus.

Sebelas orang dimasukkan ke hospital dengan seorang dalam keadaan kritikal, menurut media Amerika.

Penyerang tersebut dilaporkan ialah seorang pelajar universiti keturunan Somalia. -- Bernama