KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau hanya berkhidmat sebagai 'rubber stamp' dalam syarikat itu bagi melaksanakan kehendak Penasihat Emeritusnya, Datuk Seri Najib Razak.


Ringkasan AI
  • Bekas pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yassin, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau hanya bertindak sebagai 'rubber stamp' mengikut arahan Datuk Seri Najib Razak.
  • Suboh mendakwa bahawa Lembaga Pengarah SRC hanya wujud untuk memenuhi formaliti korporat tanpa terlibat dalam operasi harian atau keputusan syarikat.
  • Suboh juga menyatakan kemungkinan Nik Faisal Ariff Kamil tidak jujur dalam menguruskan akaun SRC dan menyembunyikan maklumat daripada Lembaga Pengarah.


Datuk Suboh Md Yassin, 73, berkata berikutan modus operandi 'rubber stamp' itu, beliau tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk mengesahkan sama ada menandatangani dokumen tertentu atau sama ada tandatangannya tertera pada dokumen berkaitan SRC telah dipalsukan.

"Saya tidak dibenarkan bertindak secara bebas dalam proses ini. Saya perhatikan bahawa bekas ketua pegawai eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil pernah membawa beberapa dokumen untuk saya tandatangani dan saya akan menandatanganinya mengikut permintaannya.

"Ini adalah modus operandi sama di mana saya biasa bertindak dan ia terpakai sama rata kepada anak syarikat SRC," katanya semasa membaca kenyataan saksinya ketika memberi keterangan sebagai responden pihak ketiga dalam saman sivil SRC berjumlah AS$1.18 bilion terhadap Najib dan Nik Faisal,yang kini bebas.

Katanya tidak keterlaluan dikatakan Lembaga Pengarah SRC wujud semata-mata untuk memenuhi beberapa formaliti korporat tetapi tidak pernah berhasrat untuk terlibat dalam operasi harian, rancangan pelaburan atau proses membuat keputusan syarikat.

"Kebijaksanaan dan kuasa lembaga pengarah nampaknya telah dilupuskan dan dikurangkan kepada proses pengawasan minimum dan memberi maklum balas dan kadang-kadang berhati-hati kepada pihak pengurusan tetapi tidak diketahui sama ada sikap itu diambil perhatian," katanya.

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Suboh berkata kemungkinan besar Nik Faisal menyembunyikan perkara tertentu apabila gagal menyerahkan akaun SRC bagi tahun kewangan 2013 kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada Oktober 2013.

Muhammad Farhan: Ini ada salah nyata jelas di pihak Nik Faisal. Anda akan tahu kerana anda telah menandatangani penyata yang telah diaudit.

Suboh: Saya memang tandatangan tetapi tidak ingat butirannya.

Muhammad Farhan: Berdasarkan ini, adakah anda setuju ini menjadi contoh ketidakjujuran Nik Faisal apabila beliau membentangkan beberapa perkara kepada lembaga pengarah.

Suboh: Itu saya tidak tahu tetapi ia mungkin sepenuhnya.

SRC, di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung Isnin ini.

-- BERNAMA