KUALA LUMPUR: Bekas pengarah SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa semua aspek perjalanan syarikat pelaburan strategik itu dikawal penuh oleh Datuk Seri Najib Razak atau melalui proksinya bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Nik Faisal Ariff Kamil.


Ringkasan AI
  • Semua keputusan penting SRC International Sdn Bhd dikawal oleh Datuk Seri Najib Razak atau melalui bekas CEO, Nik Faisal Ariff Kamil.
  • Suboh Md Yassin, bekas pengarah SRC, menyatakan bahawa arahan dari Najib mengatasi peranan pengarah lain, menjadikan mereka terikat untuk mematuhi arahan beliau.
  • SRC menuntut Najib bertanggungjawab atas kerugian RM42 juta akibat pecah amanah, penyalahgunaan kuasa, dan penyelewengan dana syarikat.


Datuk Suboh Md Yassin, 73, berkata semua pelaburan penting dan keputusan strategik harus dirujuk terlebih dahulu kepada Najib untuk kelulusan kerana ketika itu Penasihat Emeritus SRC menyebabkan kuasa, peranan dan fungsi pengarah lain termasuk dirinya tidak bermakna kerana mereka terikat untuk mematuhi arahan Najib.

"Datuk Seri Najib menyatakan perkara ini melalui pelbagai minit pemegang saham yang dikeluarkan oleh beliau atas kapasitinya sebagai Kementerian Kewangan Diperbadankan atau melalui arahan Nik Faisal yang bertindak bagi pihak Najib.

"SRC tidak seperti syarikat sendirian berhad lain di mana dalam syarikat lain seumpamanya, amalan biasa dan undang-undang, pengarah diberikan kuasa untuk membuat keputusan secara bebas.

"Penubuhan SRC adalah sesuatu yang pelik," kata Suboh semasa membaca kenyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh peguam Abraham Au mewakili SRC.

Suboh memberi keterangan sebagai responden pihak ketiga dalam saman sivil AS$1.18 bilion SRC International terhadap Najib dan Nik Faisal, yang kini bebas.

Disoal lanjut oleh Au, Suboh menjelaskan walaupun SRC adalah sebuah syarikat sendirian berhad,urusan hal ehwal syarikat itu pada hakikatnya adalah lanjutan daripada aktiviti kerajaan oleh Kementerian Kewangan.

Katanya Najib mempunyai kawalan penuh dan mutlak ke atas semua aspek perjalanan SRC kecuali Lembaga Pengarah.

"Saya merasakan peranan saya dalam SRC tiada bezanya dengan seorang penjawat awam di mana kami sudah terbiasa dan diharapkan dengan tegas mengikut arahan dari pihak atasan...dalam hal ini adalah daripada Perdana Menteri.

"Jika pihak atasan memerlukan kami melakukan sesuatu, kami tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk membantah atau menolak keputusan itu dan hendaklah mengambil semua langkah yang perlu untuk melaksanakannya," katanya.

Menurutnya satu ciri yang sangat pelik di mana keputusan dilaksanakan ialah amalan 'arahan pemegang saham' yang disampaikan melalui minit pemegang saham.

"Perkara penting berkaitan pembiayaan, pembukaan akaun bank, pelantikan CEO, penasihat undang-undang, setiausaha syarikat, penubuhan anak syarikat dan pembentukan syarikat usaha sama terkandung dalam minit pemegang saham yang dikeluarkan Datuk Seri Najib.

"Dalam keadaan tertentu, minit pemegang saham akan berlaku walaupun sebelum mana-mana resolusi pekeliling pengarah ditandatangani oleh Lembaga Pengarah dam kadangkala resolusi pekeliling pengarah dan minit pemegang saham mempunyai tarikh sama," katanya.

Suboh berkata pelaksanaan sebenar keputusan yang dibuat itu adalah di bawah bidang kuasa Nik Faisal.

Katanya memandangkan kedudukan dan kuasa Najib yang luar biasa , pengarah syarikat berasa bertanggungjawab untuk mengikuti arahannya sebagai sebahagian daripada kewajipan fidusiari dan statutori mereka untuk bertindak jujur dan demi kepentingan terbaik SRC dan negara.

Sementara itu, beliau berkata Nik Faisal hanya akan mendekatinya apabila memerlukan tandatangannya pada dokumen dan pada mulanya, beliau akan menyoal tujuan dokumen yang perlu ditandatanganinya.

"Pertanyan saya selalu diketepikan dengn kenyataan yang mencadangkan bahawa transaksi berkenaan wajib dilaksanakan atas arahan Datuk Serii Najib ...contohnya 'boss nak lah' (Najib) atau 'diminta pihak atas' (pihak atas merujuk kepada Najib).

"Ada kalanya dia tidak akan jumpa saya dan meminta 'runner' untuk membawa dokumen untuk saya tandatangan di situ sebelum dibawa balik oleh 'runner'. Selalunya dokumen yang perlu saya tandatangan telah ditandatangani oleh Nik Faisal," katanya.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Suboh menjelaskan bahawa Nik Faisal adalah satu-satunya titik hubungan antara Lembaga Pengarah dan Najib, mencadangkan Nik Faisal yang menyebarkan ketakutan kuasa Najib untuk "mengupah dan memecat" ahli Lembaga Pengarah.

"Dalam menguruskan syarikat, titik hubungan kami ialah Nik Faisal. Tiada seorang pun daripada kami tahu apa-apa, kami dinafikan sebarang maklumat," katanya.

SRC, di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman itu pada Mei 2021, mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan dana berkenaan.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adahalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balilk kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

-- BERNAMA