KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak memasukkan dua afidavit bagi menyokong permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya menjalani tempoh pemenjaraan enam tahun di rumah.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak memasukkan dua afidavit bagi menyokong permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya menjalani tempoh pemenjaraan enam tahun di rumah. Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.


Afidavit itu membabitkan sokongan diikrarkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Shah Alam, April lalu. 

Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika sidang media selepas prosiding kes itu yang dijalankan secara tertutup, mengesahkan Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan terbabit. 

Jelas Muhammad Shafee, hakim menangguhkan kes pada 3 Julai ini untuk keputusan permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum

“Afidavit terbabit diterima mahkamah...

"Jadi afidavit akan menjadi bahan dan mahkamah akan memberi keputusan untuk beri kebenaran semakan kehakiman atau tidak,” katanya pada Rabu.

Najib selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari.

Pemohon juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.