KUALA LUMPUR: Peralihan kepada tenaga hijau meningkatkan permintaan terhadap mineral kritikal dan rakyat Malaysia berpotensi mendapat manfaat daripadanya, demikian menurut analisis daripada kumpulan teknologi hartanah global, Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata, peralihan kepada tenaga hijau tersebut adalah peluang untuk membina ekonomi Malaysia yang lebih kukuh memandangkan negara kaya dengan simpanan mineral kritikal.

Beliau berkata, dengan lokasi strategik dan kekuatan industrinya, Malaysia boleh memanfaatkan permintaan terhadap sumber galian berkenaan.

"Rizab 'unsur nadir bumi' Malaysia boleh mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi dan pendapatan eksport. Syarikat di seluruh dunia juga teruja untuk mencari pembekal baharu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kashif berkata, Malaysia mempunyai sumber mineral bernilai RM4.1 trilion termasuk RM745 bilion nadir bumi dan anggaran nilai mineral logam di Malaysia sahaja adalah RM1 trilion.

"Dengan meningkatkan lagi pemprosesan dan pembuatan mineral ini, Malaysia boleh mencipta pekerjaan baharu, memacu pertumbuhan ekonomi dan memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global.

"Inisiatif kerajaan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) membantu untuk merealisasikan sasaran ini," katanya.

Bagaimanapun, Kashif berkata, menjadi pengeksport utama mineral kritikal juga mempunyai risiko dan ini termasuk kemusnahan alam sekitar jika industri ini tidak diuruskan secara lestari.

Menurut analisis Juwai IQI, dengan pelaburan pintar dan fokus pada kelestarian, Malaysia berpotensi untuk membantu memimpin revolusi tenaga hijau global bagi mewujudkan masa depan yang lebih cerah dan kaya untuk rakyatnya.

Kashif berkata, lonjakan mineral kritikal akan memberi impak yang besar terhadap pasaran hartanah Malaysia dengan jangkaan peningkatan permintaan terhadap ruang industri dan tanah di kawasan simpanan mineral, memacu pembangunan kediaman dan komersial yang baharu serta membantu meningkatkan permintaan hartanah dan nilai rumah.

Menurutnya, peningkatan keperluan untuk ruang industri memberi impak terhadap hartanah secara langsung.

"Perlombongan baharu dan pelaburan pemprosesan juga memacu pembangunan hartanah kediaman dan komersial di wilayah utamanya iaitu di Pahang, Perak dan Kedah kerana negeri-negeri tersebut kaya dengan simpanan mineral kritikal," kata Kashif. - BERNAMA