Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perdagangan antara negara-negara ASEAN hanya sebanyak 23 peratus, sekali gus memberi ruang untuk Malaysia meningkatkan perdagangan antara negara di rantau ini.
Beliau berkata rundingan mengenai penyelesaian pembayaran juga diadakan, kebanyakannya secara dua hala contohnya dengan China, agar Malaysia dapat menyelesaikan pembayaran menggunakan ringgit dan renminbi.
Bagaimanapun, penyelesaian pembayaran dengan beberapa negara lain agak sukar kerana penggunaan mata wangnya tidak begitu luas dan dolar Amerika Syarikat (AS) masih lagi menjadi mata wang utama yang digunakan, katanya.
"Belum lagi kita lihat (dapat pastikan) sama ada ini mengakibatkan pelabur asing (dari Timur Tengah) tidak masuk (melabur) ke dalam negara kita buat masa ini kerana penggunaan dolar AS masih lagi luas, tetapi dalam jangka masa panjang, yang penting ialah kestabilan ringgit," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Hamzah ingin tahu tahu sama ada langkah kerajaan menyertai BRICS bertujuan mengurangkan risiko akibat konflik geopolitik yang berpanjangan dan sama ada usaha itu mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS serta mengurangkan kehadiran pelabur Timur Tengah.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia turut merancang untuk memberikan tumpuan kepada pembangunan industri pertengahan dan hiliran bagi mengurangkan eksport produk huluan.
Contohnya, usaha kerajaan telah bermula dengan mengekang eksport bahan mentah unsur nadir bumi (REE) bagi menggalakkan eksport pertengahan dan hiliran, katanya.
Beliau berkata hasil daripada usaha itu dapat dilihat menerusi angka eksport dalam tempoh Januari hingga Ogos 2024 apabila meningkat 6.0 peratus kepada lebih kurang RM99 bilion.
"Kalau kita tengok pengeluaran sawit dan (produk) pertanian berasaskan sawit serta kimia dan bahan kimia yang juga produk pertengahan dan hiliran, ia lebih kurang 10 peratus. Jadi, produk huluan tidak banyak dari segi eksport keseluruhan negara," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai usaha meningkatkan eksport produk bernilai tinggi.
-- BERNAMA