KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan dalam kes membabitkan warga Israel, Avitan Shalom yang berhadapan dengan pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api; agar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kes itu tidak didedahkan kepada pihak umum selain saksi pakar.

Hakim Norina Zainol Abidin memutuskan perkara itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Rullizah Abdul Majid memaklumkan bahawa rakaman CCTV itu hanya boleh dijadikan rujukan kepada saksi pakar sahaja pada perbicaraan.

"Pihak pendakwaan telah menyerahkan rakaman CCTV kepada pihak peguam dan memohon agar rakaman CCTV itu tidak didedahkan kepada mana-mana pihak atau umum. Selain itu, pihak kami juga telah menyerahkan semua dokumen termasuk analisis laporan forensik kepada pembelaan," katanya pada sebutan kes berkenaan hari ini.

Permohonan itu tidak dibantah oleh peguam Jeffrey Ooi yang mewakili Avitan, 38.

Rullizah turut memohon agar tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dijadualkan semula kerana salah seorang TPR Mohamad Mustaffa P Kunyalam terlibat dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bertindih dengan kes Avitan.

"Sebelum ini tarikh-tarikh perbicaraan ialah pada 30 Sept, 1 hingga 3 Okt yang kemudian bersambung pada 7 hingga 11 Okt. Jadi pendakwaan mohon agar tarikh 30 Sept ini yang merupakan hari pertama perbicaraan dijadikan sebagai sebutan kes untuk pihak-pihak berkenaan menjadual semula tarikh-tarikh perbicaraan," kata Rullizah.

Norina kemudian menetapkan 30 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi penetapan tarikh perbicaraan baharu.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19 (Nombor Siri AEGS286), Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463), Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496), Glock 17 Gen4 Austria 9x19 (Nombor Siri: BDZZ090), M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08- A029304).

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas.

-- BERNAMA