Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), G Ajeet Singh berkata, perbuatan ini dikesan dilakukan oleh seorang pelancong asing di sebuah pintu masuk negara baru-baru ini.
Beliau berkata, video berkenaan kemudiannya disebarkan dengan tujuan mengecam pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk negara.
"Video itu dilihat seperti menghasut dan berniat jahat terhadap organisasi kerajaan serta negara.
"Pegawai imigresen terlibat telah menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang dan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Malaysia," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan imigresen perlu menggunakan saluran yang betul.
"Ini bagi membolehkan sebarang aduan dapat disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.
"Kedua-dua pihak iaitu pengadu dan yang diadu diberi peluang untuk membela diri bagi menegakkan keadilan," katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa digesa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298).
"Peruntukan menerusi Seksyen 4 (2) memperuntukkan iaitu mana-mana orang yang berada di dalam mana-mana kawasan larangan hendaklah mematuhi apa-apa arahan bagi mengawal selia pergerakan dan kelakuannya yang diberi oleh pegawai berkuasa.
"Selain itu Seksyen 7 adalah berkaitan hukuman iaitu mana-mana orang melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan yang terkandung dalam seksyen 4 atau 5 atau mana-mana perintah yang dibuat di bawahnya atau mana-mana arahan yang diberi atau kehendak yang dikenakan di bawahnya," katanya.
Terdahulu, tular satu video yang dimuat naik di media sosial memaparkan seorang individu dipercayai pelancong asing bertindak mempertikaikan tugas yang dijalankan pegawai Imigresen di salah sebuah pintu masuk negara baru-baru ini. - Sinar Harian