Inisiatif itu adalah satu daripada kempen RTSM yang telah dilancarkan pada Mei lepas bertujuan mempromosikan KTMB sebagai penggerak utama kepada industri Rail Tourism di Malaysia dan persediaan awal KTMB untuk merancakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ketua Pegawai Korporat KTMB, Suhaimi Yaacob berkata, tren berkenaan dijadual pada 7 Sept, 5 dan 26 Okt serta 9 Nov ini untuk perjalanan pada Sabtu (KL Sentral ke Taiping) dan pada 8 Sept, 6 dan 27 Okt serta 10 Nov ini untuk perjalanan pada Ahad (Taiping ke KL Sentral).
"Stesen perhentian antaranya ialah Batu Gajah, Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping. Tren ini akan berlepas pada 8.15 pagi dari Stesen KL Sentral dan dijadual tiba di Stesen Taiping pada 1.23 tengah hari,' katanya selepas majlis pelancaran RTSM Excursion Train pada Sabtu.
Beliau berkata, keistimewaan tren itu adalah penumpang memperoleh pengalaman menaiki tren konvensional menggunakan lokomotif diesel yang kini tidak lagi digunakan di laluan Utara.
Tren itu, katanya, turut dilengkapi dengan koc Chillax, koc Cafe selain koc tempat duduk yang ditawarkan dengan 36 tempat duduk untuk koc kelas pertama pada harga RM74 sehala dan 240 tempat duduk untuk koc kelas kedua pada harga RM51 sehala.
Beliau berkata, melalui promosi yang efektif, pakej yang menarik dan keindahan pemandangan sepanjang perjalanan, pihak KTMB yakin dapat memberikan pengalaman berbeza kepada pelancong sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi setempat.
Orang ramai boleh membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), laman web KTMB www.ktmb.com.my atau mesin kios tiket dan boleh hubungi Pusat Panggilan KTMB menerusi talian 03-9779 1200 untuk maklumat lanjut. - BERNAMA