PUTATAN: Demi menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, anggota tentera dan pasangan sanggup membawa anak dan bayi masing-masing ke Pusat Mengundi Awal.

Situasi itu antaranya berlaku di Kem Lok Kawi, di sini dalam memastikan mereka tidak terlepas peluang memilih wakil rakyat.

Menurut suri rumah, Mercella Leonardus, 29, dia gembira dapat keluar mengundi walaupun perlu membawa bayinya yang berusia lapan bulan.

Ujar ibu kepada dua cahaya mata itu, dia memilih waktu pagi bagi memastikan keselesaan bayinya, Marquat Heaven Andericon.

“Ini kali ketiga saya mengundi di Kem Lok Kawi.

“Penat juga berbaris tapi apa boleh buat mahu jalankan tanggungjawab sebagai pengundi. Jadi okay lah rasa gembira.

“Proses mengundi pun cepat sebab bawa anak,” katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Sementara itu, Koperal Nicksonry Emperial Hailis, 28, berkata ia satu pengalaman manis buat anak perempuannya, Gabriella, 8, kerana dapat hadir ke pusat mengundi.

“Di rumah tiada orang jaga anak sebab saya dan isteri keluar mengundi, jadi sama bawa sekali.

“Ya teruja bawa anak.

“Semalam pun saya ada tengok pemasangan khemah dan tahu proses itu, senang untuk datang mengundi (bawa anak),” ujarnya.

  Koperal Nicksonry Emperial Hailis bersama anak perempuannya, Gabriella. - Astro AWANI

Bagi pengundi pertama kali, Siti Nurfaizwatie Zainuddin, 26, pula berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Alhamdulillah sepanjang saya berbaris tadi tidak lama.

“Teruja selepas mengundi dan sebagai pengundi pertama kali, saya dapat pengalaman baharu,” katanya yang telah berkhidmat selama empat tahun di Kem Lok Kawi.

Siti Nurfaizwatie Zainuddin bersama dua lagi anggota tentera di Kem Lok Kawi. - Astro AWANI

Sementara itu, Panglima 5 Divisyen, Datuk Abdul Rahman A Wahab berkata seramai 11,181 tentera dan pasangan di Sabah termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan akan mengundi awal hari ini.

Daripada jumlah tersebut seramai 6,338 merupakan tentera darat dengan sekurang-kurangnya 2,900 mengundi di Pusat Mengundi Awal di Kem Lok Kawi, di sini.

“InsyaAllah di sini (Kem Lok Kawi) kita membuat proses pemeriksaan balas iaitu setiap pasukan akan menentukan anggota masing-masing dan kita jangkakan keseluruhan sekiranya tidak ada aral melintang, adalah sebanyak 72 peratus daripada pengundi akan membuang undi di sini.

“Ia tidak termasuk undi pos seramai lebih kurang 1,299 bagi tentera darat di seluruh negeri Sabah.

“Pusat Mengundi Awal yang dibuka di Sabah adalah sebanyak 12 buah,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu Abdul Rahman dan isteri, Datin Zarina Alif selepas mengundi awal sekitar pukul 8.05 pagi.

Kem Lok Kawi terletak di bawah Parlimen Putatan.

Bagi PRU kali ini, Parlimen Putatan menyaksikan saingan empat penjuru.

Ia melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Shahelmey Yahya; Pakatan Harapan (PH), Awang Husaini Sahari; Parti Warisan (Warisan) Ahmad Mohd Said dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) PoyneTudus @Patrick Payne.