Penganalisis ekonomi, politik & hubungan antarabangsa, Herizal Hazri menegaskan, tiada negara di dunia ini boleh menempuhnya bersendirian dan Malaysia harus ada strategi kebersamaan supaya dapat mengukuh di peringkat antarabangsa.
Maka katanya, kerajaan yang stabil perlu segera dibentuk dengan keputusan-keputusan yang matang untuk menghantar isyarat kepada dunia bahawa Malaysia sudah bersedia untuk menjadi rakan kerjasama yang meyakinkan.
“Sedang kita bercakap ketika ini, negara-negara dunia sedang membuat koalisi-koalisi tertentu untuk mengukuhkan keadaan atau posisi mereka di peringkat antarabangsa.
“Dalam keadaan dunia hari ini, ada banyak tempat untuk pelabur pergi dan Malaysia bukan lagi satu daripada destinasi pilihan mereka.
“Jadi kita perlu kerja dengan sangat keras untuk mencari solusi terbaharu supaya kita dapat benar-benar meningkatkan keterbukaan ekonomi kita,” katanya dalam program khas Malaysia Memilih pada Ahad.
Ujar beliau, tiada siapa yang mahu menjalankan urus niaga dengan negara yang bergelumang dengan ketidaktentuan dan Malaysia tidak boleh terus begitu.
Kata Herizal, hari ini kita seakan-akan hidup memikirkan tentang permasalahan politik dalaman kita sahaja tanpa benar-benar peduli tentang apa yang berlaku di dunia.
Maka tegas beliau, elit-elit politik harus sedar bahawa negara ini harus bergerak ke hadapan dan kita tak mampu melangkah masuk ke dalam keadaan tidak menentu dunia secara berseorangan, terutamanya dari aspek ekonomi.
“Selesaikanlah masalah ini secepat mungkin, selesaikanlah secara matang, tunjukkan pada dunia bahawa kita ada cabaran tetapi kita boleh berdiri teguh dan mencari solusi lebih baik dan kita sedia untuk membuka pintu urus niaga.”