Lebih mengejutkan seandainya ada daerah yang masih belum memiliki akses kepada talian telefon biasa.
Namun itulah hakikat yang disuarakan oleh sebahagian rakyat di daerah Kuala Pilah, yang mengakui kekurangan itu menjadi punca atau faktor kekangan ke atas pelbagai urusan harian mereka.
Menurut salah seorang penduduk, Mohamad Qayyum Abd Jalil, 32, masalah tersebut telah lama disuarakan menerusi pelbagai peringkat termasuk mengadakan perbincangan dengan pemain industri syarikat telekomunikasi (telco), namun sehingga kini mereka gagal mengubah keadaan itu.
Menurut pemuda yang juga merupakan Pengerusi Tetap Majlis Belia Negeri Sembilan itu, kekangan tersebut menjadi faktor kegagalan bagi sebahagian anak muda tempatan untuk mengubah taraf kehidupan mereka.
"Jangankan kata internet 5G atau 4G, di sini talian telefon pun masih ada yang belum mampu dapat.
"Capaian internet kini memang amat penting terutamanya bagi tujuan pendidikan dan mereka yang menjalankan perniagaan. Besar sebenarnya peluang (yang menanti), dan akses capaian internet kini sudah menjadi keperluan dan bukannya kehendak," luahnya kepada Astro AWANI.
Setakat ini katanya, walaupun kepimpinan sudah bertukar tangan di pelbagai peringkat, namun masalah yang sepatutnya diutamakan itu seakan-akan tidak menjadi agenda.
Dia yang juga menjalankan beberapa jenis perniagaan di daerah itu turut mengakui, masalah peluang pekerjaan mungkin mampu dikurangkan seandainya taraf capaian komunikasi dan digital diperbaiki serta mencapai tahap sepatutnya.
Dengan populasi belia yang meningkat... dengan lebih 14,000 pengundi baharu, katanya, sepatutnya Kuala Pilah mampu menjelmakan pelbagai pencapaian dan kejayaan menerusi potensi yang ada dalam kalangan mereka.
"Ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19 dahulu dan kerajaan melaksanakan Peritah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai anak muda yang berniaga cuba pasarkan produk mereka di dalam talian. Terbukti ia sangat berkesan untuk majukan jualan mereka sehingga tak cukup tangan.
"Namun malangnya, kita berdepan dengan isu atau masalah yang dikategorikan sebagai keperluan asas, iaitu perkhidmatan untuk rakyat bagi sebahagian kawasan di sini," katanya lagi.
Rungutan isu itu juga sebenarnya pernah disuarakan sebelum ini oleh golongan muda ketika menyedari kehadiran Astro AWANI di daerah terbabit.
Malah, kru Astro AWANI juga mengakui tahap liputan talian komunikasi amat rendah atau gagal dicapai di sesetengah kawasan, dan melibatkan jaringan dari pelbagai syarikat penyedia perkhidmatan.
Isu berkenaan wajar diberi perhatian serius pihak yang terlibat, apatah lagi ketika negara telah mewujudkan Jalinan Digital Negara (JENDELA), iaitu pelan yang diformulasi untuk menyediakan liputan internet lebih luas dengan kualiti jalur lebar lebih baik untuk pengguna, di samping mempersiapkan negara bagi teknologi 5G.
Ia selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam aspek meningkatkan rangkaian capaian serta kualiti internet negara.