Daerah ini pernah menjadi saksi seribu satu kisah sejarah yang panjang. Ada kisah yang manis seperti persahabatan melangkaui identiti etnik. Ada juga detik hitam yang terpahat dalam lipatan sejarah dunia - menjadi titik kemaraan tentera Jepun untuk menawan Singapura semasa Perang Dunia Kedua.
Seperti mana rencamnya sejarah Mersing, begitu juga keadaan jalan raya di sekitar daerah ini. Ada yang elok, ada juga yang tidak.
Harus diakui, Mersing kaya dengan khazanah alam yang menjadikan daerah ini sebagai hab pelancongan. Maka, harapan dan jangkaan rakyat terhadap pelbagai agensi di setiap lapisan sistem kerajaan kian menggunung.
Dalam kehangatan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, isu infrastruktur jalan raya di Mersing masih menjadi buah mulut penduduk setempat.
Kebanyakan warga Mersing yang ditemui tidak malu untuk berkongsi rasa dan kehendak mereka. Pada pendapat mereka, Mersing perlu dinaik taraf agar menjadi hab pelancongan berkelas dunia.
Menurut seorang warga emas, Ben Lo, perubahan harus bermula dengan usaha mencantikkan infrastruktur jalan raya.
"Bertahun-tahun pun kita cerita sama saja, musim cuti trafik memang akan sesak terutamanya di kawasan Jambatan Mersing boleh sesak sampai satu jam.
"Masa nak undi semua cakap boleh (bawa perubahan) tetapi lepas undi semua hilang, jalan pun berlubang lagi.
"Kita nak masalah ini selesai kerana penduduk yang berdepan masalah hari-hari," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.
Sementara itu, masalah sama disuarakan Ahmad Firdaus Sheikh Omar yang merupakan pengusaha pelancongan.
Mersing tidak sepatutnya tercemar dengan masalah seumpama itu kerana ia merupakan destinasi pelancongan terkenal.
"Pelanggan kita pun dari luar ada masa mengadu pasal jalan untuk sampai ke sini, termasuk masalah jalan gelap... jadi ada yang takut nak datang," katanya.
Selain itu, Baharin Abdul Aziz berpendapat, wakil rakyat yang bakal dipilih sewajarnya mengutamakan keperluan masyarakat di Mersing.
Tambahnya, wakil rakyat yang bakal dilantik juga perlu cerdik selain tampil dengan idea-idea bernas demi pembangunan di Mersing.
"Kalau nak buat apa-apa projek cuba minta pandangan dengan rakyat, kita tengok sebelum ini banyak projek yang terbengkalai jadi ini merugikan.
"Kita perlu wakil rakyat yang cerdik dan bukan hanya makan gaji tanpa buat apa-apa," ujarnya.
Mereka antara lain senada, sesiapa pun Ahli Parlimen dipilih dalam PRU15 ini, beliau harus memahami potensi dan peluang yang ada di daerah ini.
Untuk rekod, sebelum ini, Astro AWANI pernah membawakan laporan berhubung keluhan penduduk setempat mengenai isu kerosakan jalan di Mersing yang dianggap tiada kesudahan.
Kawasan Parlimen ini menyaksikan 64,401 pengundi berdaftar sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
Pada PRU14 yang lalu, kerusi ini dimenangi Datuk Abdul Latiff Ahmad dengan majoriti 8,459 undi. Beliau ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum membuat keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).