Ringkasan AI
- Mahkamah Sesyen menetapkan 18 Disember untuk sebutan semula kes Norizan Ismail, yang didakwa cuba membunuh seorang pelajar UiTM Dungun dan menyebabkan kecederaan.
- Norizan, yang juga menghadapi tuduhan membunuh tiga pelajar UiTM Dungun, sedang menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru.
- Laporan penuh psikiatri tertuduh belum diterima, dan beliau diwakili oleh peguam Mohd Shahir Mat Jusoh.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim yang memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan penuh psikiatri tertuduh Norizan Ismail, 49, belum diterima kerana masih menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru.
Terdahulu, suri rumah dan ibu kepada tiga anak itu diperintahkan mahkamah menjalani pemeriksaan mental berikutan pertuduhan pertama terhadapnya mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan pada15 Okt lepas.
Norizan didakwa kerana melakukan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pada 7.35 malam, 9 Okt lepas di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun.
Dia sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM Dungun iaitu Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.
Pada 15 Okt lepas Majistret Nur Amirah Fatihah Osman memutuskan supaya Norizan dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemeriksaan mental selama sebulan.
Tertuduh diwakili peguam Mohd Shahir Mat Jusoh.
-- BERNAMA