Norin Aznan, 22 tahun, melahirkan anak kedua, Anaqi Mikail Mohamad Aiman Hakim, pada 5 Nov lalu dan masih menjalani proses berpantang di rumahnya di perkampungan Orang Asli Kampung Kuala Koyan.
Ibu kepada dua cahaya mata yang mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gahai, dekat sini, tekad keluar mengundi kerana berasa terpanggil untuk menyumbang kepada pemilihan pemimpin setempat.
"Saya hadir bersama bayi dengan membonceng motosikal yang ditunggang oleh ayah, Aznan Achom, dari Kampung Kuala Koyan, yang terletak kira-kira dua kilometer dari pusat mengundi.
"Saya sangat teruja mahu mengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ini.
"Saya juga mendapat sokongan keluarga untuk keluar mengundi walaupun dalam tempoh berpantang," katanya ketika ditemui di SK Tanjung Gahai di sini hari ini.
Norin berkata, proses pengundian berjalan lancar kerana petugas Suruhanjaya Pilihan Raya sangat membantu.
"Terima kasih kepada semua petugas kerana memudahkan urusan saya untuk menjalankan tanggungjawab tadi.
"Ada petugas SPR tolong bawa saya menggunakan kerusi roda dan papah saya selain mempercepatkan proses mengundi di laluan pantas," ujarnya.