Ia dalam usaha mengemudi landskap syarikat pemula berasaskan sains, teknologi dan inovasi serta menggalakkan pertumbuhan ekosistem yang inklusif dan mampan di negara ini.
Penyelaras program GIST, Murali Prasad Y Vandayar berkata, GIST menerusi kerjasama Kedutaan AS di sini serta #angelsinscience sejak 2018, menyokong pewujudan syarikat pemula tempatan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi serta penyertaan pelabur pemangkin di Malaysia.
"Setakat ini GIST sudah membimbing lebih 15,000 syarikat pemula di seluruh dunia sejak ia dimulakan pada 2011.
"Tahun lalu, GIST bekerjasama dengan 435 inovator dan pengasas syarikat pemula dari 16 negara membangun termasuk Malaysia yang melibatkan dana geran sebanyak RM4 juta," katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.
Menurut Murali Prasad, dalam usaha membantu penglibatan graduan dari golongon B40 dan M40 dalam bidang keusahawanan berasaskan sains dan teknologi berkembang, GIST baru-baru ini turut melancarkan #lunchnotes di Courtyard by Marriot Kuala Lumpur South.
#lunchnotes katanya, adalah platform yang menyediakan akses khidmat nasihat pro bono kepada graduan yang ingin meneroka peluang dalam syarikat pemula.
"Kami yakin #lunchnotes ini dapat memanfaatkan lebih ramai graduan untuk mendapatkan tips-tips serta perkongsian menarik dan berguna daripada usahawan dan pelabur berjaya.
"Pada masa sama, ia akan menghubungkan semua pihak berkepentingan dari program GIST dan STIC dalam ekosistem syarikat pemula di negara ini.
Berkait isu sama, Murali Prasad memberitahu, tiga rakyat Malaysia turut dipilih kerajaan AS untuk membentangkan kertas kerja syarikat pemula pada Persidangan Tahunan US-ASEAN STIC yang berlangsung di Vientiane, Laos, baru-baru ini.
Menurutnya, mereka adalah antara 15 peserta dari Malaysia yang menyertai STIC 2024, termasuk dua daripadanya wanita.
"Pada masa-masa akan datang, kita menyasarkan lebih banyak penyertaan universiti tempatan serta syarikat pemula tempatan dalam program syarikat pemula biayaan kerajaan Amerika Syarikat," ujarnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini ketika melancarkan MCY Summit 2024 berkata, Malaysia berhasrat menjadi antara 20 negara terbaik dalam ekosistem pemula niaga global menjelang 2030 dan meletakkan Kuala Lumpur sebagai hab pemula serta digital serantau.