Dalam satu kenyataan pada Isnin beliau berkata, 43 kertas undi pos telah dikeluarkan terdiri daripada 41 undi pos Kategori 1A (petugas pilihan raya dan anggota polis), dan dua undi pos Kategori 1C (agensi dan organisasi).
Beliau berkata, pengeluaran kertas undi pos dilakukan oleh Petugas Pilihan Raya yang dilantik Pegawai Pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding.
“Kesemua anggota polis terlibat dalam PRK ini telah dikeluarkan kertas undi pos. Oleh itu, tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 13 Ogos 2024 (Selasa) nanti.
“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2), serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum pukul 5:00 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 17 Ogos 2024 (Sabtu),” katanya lagi.
Selain itu beliau turut mengingatkan para pengundi agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.
PRK Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Hari penamaan pada 4 Ogos lepas menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, dan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail.
SPR menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak akan diadakan, selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos susulan keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.
Kerusi DUN Nenggiri mempunyai 20,259 pemilih berdaftar, melibatkan 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.