Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ia bukanlah pertama kali dilakukan gabungan itu malah BN dan PH pernah bersama-sama dalam beberapa siri PRK sebelum ini antaranya Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor, DUN Pelangai, Pahang, Parlimen Kemaman, Terengganu, dan terbaharu di DUN Kuala Kubu Baharu.
"Ia tidak seharusnya menjadi gangguan kerana ini bukan kali pertama kita adakan PRK yang melibatkan kerajaan PH dan BN. Kita telah pun mengadakan PRK sebelum ini (contohnya seperti) di Pulai yang menggunakan nama Kerajaan Perpaduan.
"Seperti kita tahu walaupun calon itu daripada Parti Amanah (pada PRK Pulai) tetapi dia adalah parti daripada Kerajaan Perpaduan secara keseluruhannya. Sebab itu kesemua parti terlibat secara langsung untuk memastikan kemenangan calon daripada Kerajaan Perpaduan," katanya ditemui selepas menghadiri program Suara Anak MADANI di sini malam tadi.
Menteri Pendidikan Tinggi itu yang bertanggungjawab mengetuai gerak kerja jentera parti dalam Kerajaan Perpaduan bersama Menteri Sumber Manusia Steven Sim bagi menghadapi PRK KKB berkata setakat ini perjalanan kempen calon berada pada tahap yang baik.
Sementara itu, Sim yang juga Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan berkata pemilihan Pang, 31, sebagai calon mencerminkan kesungguhan parti dalam mengetengahkan bakat muda.
"Pang merupakan seorang wanita, dan penyandang sebelum ini mendiang Lee Kee Hiong ialah wanita. Jadi calon yang kita nak ketengahkan ini adalah seorang wanita yang berwibawa untuk meneruskan legasi mendiang.
"Kita juga ingin melihat di masa hadapan generasi muda sebagai penyambung obor dan sebagai generasi pelapis...kita nak lihat kesinambungan legasi itu," katanya yang turut hadir di program berkenaan.
Pada PRK berkenaan, Pang ditentang oleh tiga pencabarnya iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 7 Mei.
-- BERNAMA