Shamsuri berkata laporan penuh mungkin mengambil masa namun beliau telah berhubung dengan Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bagi memberikan maklumat awal.
"Kita terima pelbagai respons sama ada yang positif mahupun yang kurang senang kerana dikatakan mengganggu pembelajaran, berlaku kecederaan dan sebagainya. Bagaimanapun, saya rasa perkara ini dapat diredakan apabila masyarakat mengetahui bahawa ini adalah satu simulasi ataupun latihan," katanya.
Beliau berkata demikian pada penutupan Ex Kurung yang dilaksanakan di PUO selama dua hari sejak semalam.
Semalam, Zambry berkata Ex Kurung dilaksanakan dengan persediaan rapi meskipun terdapat insiden membabitkan seorang pelajar yang dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan pihaknya menunggu laporan penuh daripada PUO.
Sementara itu, Shamsuri berkata pihaknya akan memberikan penumpuan terhadap pelajar yang menjadi 'tebusan' kerana mereka dianggap paling terkesan dengan latihan berkenaan.
"Penasihat akademik akan menemui mereka dan kita akan pastikan kesihatan mereka tidak terjejas dan terjamin," katanya.
Semalam, polis dalam satu kenyataan mengesahkan insiden 'pengganas', 'tembakan' dan 'tebusan pelajar' di PUO yang mencetuskan panik dan tular di media sosial adalah latihan pengurusan dan pengendalian krisis dikenali sebagai Ex Kurung.
Ex-kurung yang melibatkan lebih 200 individu terdiri daripada 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), petugas kementerian kesihatan (KKM), media dan pengurusan PUO diadakan sejak pagi semalam melibatkan serangan sekumpulan pengganas, penahanan tebusan dalam kalangan pelajar dan pensyarah diakhiri dengan 'serangan' terhadap pengganas dan operasi penyelamat tebusan kira-kira 5.30 pagi tadi.
-- BERNAMA
