"Banyak mangsa masih berada di bawah runtuhan, dan usaha menyelamat sedang giat dijalankan," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, lapor Anadolu Ajansi.
Tentera Israel menyatakan pada awal pagi Selasa bahawa mereka telah melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza, serangan terbesar sejak gencatan senjata dengan kumpulan Palestin Hamas berkuat kuasa pada 19 Jan.
Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata keseluruhan keluarga termasuk dalam kalangan mangsa yang terbunuh dalam serangan Israel, dengan ambulans dan pasukan pertahanan awam tidak dapat membawa semua mangsa ke hospital.
"Pembunuhan kejam ini mengesahkan sekali lagi bahawa tentera pendudukan Israel hanya mengetahui bahasa pembunuhan, kemusnahan, dan genosid," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah bahawa penyambungan semula pembunuhan di Gaza bertepatan dengan pengepungan menyeluruh yang dikenakan ke atas wilayah itu dan penutupan sepenuhnya laluan keluar masuk, yang memburukkan krisis kemanusiaan dan menyebabkan lebih 2.4 juta rakyat Palestin kekurangan keperluan asas.
Pejabat media itu menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan PBB dan kumpulan hak asasi manusia, untuk memecahkan kebuntuan sikap tidak bertindak serta mengambil tindakan segera bagi menghentikan pembunuhan di Gaza.
-- BERNAMA
