GAZA: Ratusan mayat terpaksa ditempatkan di lantai Hospital Al-Ahli Arab Baptist, yang serba kekurangan di Gaza, ketika bilangan korban sudah melepasi 300 orang, susulan serangan besar-besaran Israel pada Selasa.

Salah seorang penduduk, Mohammad Bdeir yang masih terkejut dengan kejadian berkata, ketika serangan berlaku, dia sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi kuat.

"Kami sedang tidur, kemudian tiba-tiba terjaga akibat serangan, mereka menyerang rumah jiran kami, rumah Badr, syukur kepada Tuhan. Kami bangun dari tidur untuk memeriksa rumah, kami menemui seorang gadis di bawah runtuhan, kami menarik ibu dan bapanya dari bawah runtuhan.

"Kemudian anak perempuan saya tidak kelihatan, kami terus mencari dia dan menemuinya (sudah meninggal dunia)... dan syukur kepada Tuhan kami menariknya (jasadnya) dari bawah runtuhan," katanya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Gaza melaporkan bahawa lebih 322 rakyat Palestin terbunuh atau hilang selepas Israel kembali melancarkan serangan di seluruh Semenanjung Gaza.

Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka telah melancarkan serangan udara terbesar ke atas Gaza sejak gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata beliau telah mengarahkan tentera untuk mengambil tindakan tegas terhadap Hamas di Gaza sebagai tindak balas terhadap keengganan kumpulan itu untuk melepaskan tebusan dan penolakan cadangan syarat gencatan senjata.

Sementara itu, Hamas menuduh Israel membatalkan perjanjian gencatan senjata yang sukar dicapai, meninggalkan nasib 59 tebusan yang masih ditahan di Gaza tidak menentu.