GAZA: Gaza kembali menjadi mangsa kerakusan tentera Israel.

Pada pertengahan bulan penuh kemuliaan Ramadan, rejim Zionis tanpa perikemanusiaan melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza awal pagi tadi selepas rundingan gencatan senjata dengan Hamas menemui jalan buntu. 

Memetik laporan Al Jazeera, sekurang-kurangnya 170 orang telah terbunuh dalam serangan itu di seluruh Gaza termasuk 78 orang yang terbunuh di Khan Younis di selatan Gaza dan sekurang-kurangnya 20 orang yang terbunuh di Gaza City di utara Semenanjung Gaza.

Tentera Israel memaklumkan sedang melaksanakan serangan meluas ke atas pasukan pasukan pejuang Hamas di Gaza dan akan memberikan butiran lanjut mengenai operasi itu. 

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan berkata, beliau telah mengarahkan tentera untuk mengambil tindakan tegas terhadap Hamas susulan keengganan kumpulan itu membebaskan tebusan serta menolak semua cadangan gencatan senjata. 

“Israel akan bertindak terhadap Hamas dengan kekuatan ketenteraan yang semakin meningkat mulai sekarang,” menurut kenyataan pejabat Netanyahu. 

Sementara itu, seorang pegawai kanan Hamas memberitahu Reuters, rejim Israel jufa telah membatalkan perjanjian gencatan senjata secara unilateral.

Hamas turut menuduh Netanyahu meletakkan tebusan di Gaza dalam keadaan yang tidak menentu. 

Serangan udara Israel turut menyasarkan beberapa lokasi di Gaza termasuk tiga buah rumah di Deir Al-Balah, sebuah bangunan di Gaza City serta beberapa kawasan di Khan Younis dan Rafah.

Sumber perubatan dan saksi memaklumkan, serangan itu mengakibatkan kemusnahan dan kecederaan. 

Pegawai tentera Israel menyatakan serangan tersebut menyasarkan pegawai kanan dan infrastruktur milik Hamas.

Tentera Israel turut memaklumkan bersedia untuk meneruskan serangan terhadap Hamas bagi tempoh yang diperlukan selain operasi akan diperluaskan melangkaui serangan udara,

Ketegangan yang semakin memuncak ini berlaku ketika Israel dan Hamas gagal mencapai kata sepakat mengenai kesinambungan perjanjian gencatan senjata tiga fasa yang bermula pada Januari lalu. 

Usaha perantara dari negara-negara Arab yang disokong Amerika Syarikat juga masih belum berjaya menyelesaikan perbezaan antara kedua-dua pihak meskipun rundingan telah diadakan sejak dua minggu lalu.  - Agensi